Buaya Tembaga Timbul Apabila Nama “Awang” Diseru


KUANTAN – “Bila jerit saja nama ‘Awang’ sambil baling bangkai dan kulit ayam ke dalam parit, buaya itu akan timbul.

“Kalau panggil nama lain, buaya itu tak pula timbul,” kata Mohd. Zaki Taufik, 31; penduduk Kampung Cempaka.
Sejak sebulan lalu, penduduk di situ digemparkan dengan kehadiran buaya tembaga yang menjadikan parit sebagai habitat baharu selepas dikatakan tersesat ekoran limpahan air Sungai Kuala Baru ketika banjir tahun lalu.
Mohd. Zaki berkata, selepas kemunculan ‘Awang’, ramai penduduk datang ke parit itu pada setiap pagi dan petang semata-mata mahu melihat buaya itu timbul dan memberi makanan.
“Buaya ini tidak mengancam penduduk di sini sebaliknya kehadiran haiwan itu menjadikan kampung kami terkenal apabila ramai orang dari luar datang untuk melihat buaya tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung, Mat Lazim Kadir berkata, sejak dahulu, kawasan kampung itu sering menjadi tempat ‘persinggahan’ buaya sesat akibat pertembungan air pasang sungai dan laut.
Menurutnya, buaya–buaya berkenaan kembali ke habitat asalnya apabila berlaku pertembungan air pasang yang seterusnya.
“Kemunculan buaya di sini sudah lama berlaku tapi kali ini disebabkan viral dari media sosial, ia menjadi buah mulut orang ramai sehinggalah tersebar secara meluas.
“Ada yang kata terdapat tiga ekor buaya tembaga di dalam parit ini, tapi saya hanya pernah lihat dua daripadanya kerana haiwan itu tidak timbul serentak,” katanya.
Bagaimanapun menurutnya, reptilia sepanjang hampir dua meter itu tidak mendatangkan bahaya kepada penduduk kerana dikatakan sudah jinak dan serasi dengan penduduk sekitar.
“Parit yang dalam dengan jumlah ikan yang banyak menyebabkan buaya selesa berada di dalam parit itu.
“Reptilia itu hanya akan meninggalkan parit berkenaan apabila berlaku banjir besar dan air pasang besar sekali lagi,” katanya.
Selain itu kata Mat lazim, disebabkan sering diberi makanan, buaya itu seolah-olah tidak takutkan manusia dan akan timbul berhampiran tebing parit walaupun dikerumuni orang ramai yang menunggu untuk melihatnya.

Minta pasang papan tanda
Setiausaha JKKK Kampung Cempaka, Mohd. Azri Abdul Rahman berharap pihak berkuasa memasang papan tanda amaran agar penduduk lebih berhati-hati.
Menurutnya, kehadiran buaya tembaga itu menjadikan kawasan parit berkenaan sebagai tempat kunjungan penduduk setiap hujung minggu.
Sementara itu, Jabatan Perhilitan Negeri Pahang akan meneruskan operasi menangkap buaya tembaga itu menggunakan teknik jerut.
Pengarahnya, Datuk Khairiah Mohd. Shariff berkata, kaedah menggunakan umpan kulit ayam yang digantung di permukaan air dianggap sesuai dan mampu menjerat haiwan tersebut.
“Sebelum ini tali yang digunakan untuk menjerut muncung buaya yang diapung menggunakan pelampung tidak sesuai disebabkan arus air yang deras.
“Perhilitan menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri kawasan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
“Jika perlu kita terpaksa bertindak tegas dengan menyekat orang ramai daripada menghampiri tebing parit itu,” katanya.
Menurutnya, parit berkenaan bukan tempat tinggal reptilia seperti itu dan dikhuatiri buaya tersebut akan mengganas apabila lapar dan terancam.
“Hanya sungai saja menjadi habitat semula jadi buaya,” katanya yang berharap masyarakat dapat menerima dan faham tugas Perhilitan. – Sinar Harian
0 Komentar untuk "Buaya Tembaga Timbul Apabila Nama “Awang” Diseru"

 
Copyright © 2014 panas panas - All Rights Reserved
Template By Catatan Info