BANGKOK – Anak-anak patung bakal
mendapat layanan sama seperti penumpang lain dalam pesawat syarikat Thai
Smile Air, asalkan ‘ibu bapa’ mereka telah membayar harga tiket
penerbangannya.
Menurut kakitangan syarikat udara domestik
Thailand itu, mereka akan menyediakan makanan dan minuman bagi anak
patung tersebut, jika tiket sudah ditempah bersama-sama dengan tiket
penumpang.
Anak patung digelar sebagai ‘Luk Thep‘ atau ‘Child Angels‘
itu, yang dikatakan semakin popular di rantau Asia Tenggara, malah
dilayan sama seperti penumpang lain, menurut laman berita terkenal Daily Mail.
Para pemilik boneka ini mendakwa bahawa anak
patung tersebut memiliki ‘kuasa luar biasa’ dan anak syarikat
penerbangan milik penuh Thai Airways itu kini terpaksa pula mengiktiraf
perkara berkenaan.
Menurut laporan Daily Mail, anak patung
tersebut, yang rupanya memang mirip kanak-kanak sebenar, dijangka perlu
mematuhi peraturan kabin pesawat seperti memakai tali pinggang keledar
apabila diarahkan.
Susulan pematuhan arahan lazim ketika dalam
pesawat, mereka akan dihidangkan dengan segala minuman dan makanan
ringan sepanjang tempoh penerbangan sama juga seperti penumpang manusia
hidup.
Salah satu laman berita Thai menyatakan bahawa anak
patung itu ‘dipercayai mempunyai jiwa kanak-kanak, maka para pemilik
mereka memakaikan boneka itu pakaian seolah-olah ia kanak-kanak yang
sebenar.
Pemilik itu berharap, jagaan baik itu akan membawa kepada nasib yang baik’. Laman The Star pula mendedahkan pekeliling memo yang dihantar kepada kakitangan syarikat penerbangan berkenaan sebagai penjelasan.
Ia menyatakan bahawa anak patung jenis Luk Thep
itu ‘boleh dilayan seperti kanak-kanak hidup sebenar kerana mereka
sudah pun menjalani proses “kerohanian” yang berjaya memberikan ia roh
nyawa’.
Jika anak patung itu dibawa naik ke dalam pesawat
tanpa tiket, ia dilayan seperti beg tangan biasa. Ini bermakna ia akan
disimpan di dalam almari berkunci di bahagian atas tempat duduk atau di
bahagian bawah kerusi.
Thai Smile Air ditubuhkan sejak 7 Julai 2012
berpusat di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di sini kini
terbang ke 12 destinasi dalam dan serantau dengan 15 buah pesawat Airbus
A320-200.
Bercerita mengenai anak patung itu, harganya boleh
mencecah semahal 5,020 baht (RM595) dan pernah terjadi insiden apabila
pemilik turut membuat tempahan restoran untuk anak patung tersebut.
Malah salah satu restoran di Thailand, iaitu Neta
Grill, mengalu-alukan boneka itu dengan menulis menerusi laman
Facebooknya: “Kami mengalu-alukan semua pelanggan, lebih-lebih lagi
berkhidmat untuk Luk Thep.
Namun mereka menetapkan syarat setiap hidangan
perlu dimakan. Ia kini trend terbaharu rakyat Thailand termasuk membawa,
bercakap dan menyayangi anak patung itu yang asalnya dihasilkan
daripada kilang.
Para pemilik mempercayai bahawa anak patung
tersebut mempunyai roh kanak-kanak yang boleh mengubah nasib untung
mereka, kekayaan harta, restu dan perlindungan daripada bencana bahaya.
Bahkan anak patung istimewa tersebut
dipuja dan dilayan mereka seperti bayi manusia dengan didukung, disuap
makanan dan dipakaikan baju. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
0 Komentar untuk "Anak Patung ‘Hidup’ Kena Bayar Tiket Naik Pesawat Thai"