Zukiee antara selebriti media sosial yang menerima pendapatan tertinggi.
PETALING JAYA: Selebriti media sosial iaitu Zukieee mengakui menerima
perubahan drastik dalam kehidupannya selepas video-video lucu yang
dimuat naik di laman sosial mendapat sambutan netizen.
Malah, Zukieee atau nama sebenarnya, Zulkifli Muhammad, 24, berkata,
pendapatan selama tujuh bulan membuat video-video pendek itu mampu
menanggung kehidupan keluarganya yang susah.
"Alhamdulillah, pendapatan sejak menjadi selebriti media sosial agak
baik saya boleh bantu ibu dan adik beradik lain setiap bulan dan setakat
ini sudah beli kereta Mazda RX8 secara tunai.
"Saya daripada keluarga yang susah dan ada tujuh adik beradik, dulu saya
hanya seorang pekerja zoo dengan gaji RM800 sebulan sahaja," ujarnya
kepada mStar Online.
Zukie mampu membeli kereta jenis Mazda RX8 hasil pendapatan sebagai selebriti media sosial sejak tujuh bulan.
Zukiee berkata demikian ketika ditemui pada majlis Pelancaran Inspirasi
Raya Anzel Scarf, ATL dan Zukiee Pendekar yang diadakan Hotel Royal
Chulan, di sini, Khamis.
Tambah Zukieee, hasrat untuk mengubah nasib keluarga dengan aktif di
media sosial sudah lama, namun dipendam kerana kekurangan modal untuk
memulakan kerjaya itu.
Bagaimanapun, tahun lalu, selepas mampu membeli sebuah telefon bimbit dengan harga RM300, dia dapat memulakan rancangannya itu.
"Sebenarnya saya sudah simpan idea-idea untuk jadi viral sejak tahun
2011, tapi saya tidak boleh buat kerana saya tiada telefon bimbit yang
boleh buat rakaman.
"Sehingga tahun lalu, saya tekad beli telefon berharga RM300 yang ada
video. Daripada situ saya buka akaun laman sosial dan muat naik
video-video yang saya lakonkan," ujarnya.
Sehingga kini, Zukieee memiliki sebanyak 420,000 pengikut laman Instagram dan 500,000 di Facebook.
Majlis pelancaran Anzel Scarft, ATL dan Zukiee yang diadakan pada Khamis.
Dalam pada itu, Zukieee berkata, dia turut menerima banyak tawaran untuk
beraksi di beberapa program televisyen dan berlakon drama, namun
terpaksa ditolak.
Dia menolak tawaran tersebut semata-mata untuk menjaga eksklusiviti dan
jenama dirinya iaitu hanya boleh dilihat di media sosial sahaja.
"Kerjaya saya di media sosial bukan di televisyen, jadi saya terpaksa
tolak tawaran-tawaran daripada stesen televisyen yang mahu saya terlibat
dalam drama dan program mereka.
"Saya tidak mahu jika terlalu kerap di televisyen membuatkan orang bosan
dan tidak mahu menonton saya di media sosial pula," ujarnya.
Selain itu, Zukieee berkata, dia kini mempunyai sebuah syarikat
pengiklanan Viral Media Sdn Bhd bagi mempromosi produk di media sosial.
Katanya, ia merupakan gabungan beberapa rakan selebriti media sosial
lain yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam mempromosi sesuatu produk.
"Saya serius dalam kerjaya ini dan sudah memiliki sebuah syarikat untuk
tujuan itu semata-mata. Di bawah syarikat itu saya mempunyai beberapa
rakan-rakan blogger yang aktif di media sosial," ujarnya.
0 Komentar untuk "SIAPA SANGKA ! Dengan Modal RM300, Ramai TAK SANGKA Apa Yg Berlaku Pada Hidup Zukie Sekarang !"