PARIS – Semua pasar raya di Perancis
kini dilarang daripada membuang barang makanan yang tidak habis dijual
akibat tamat tempoh atau rosak walaupun dimasukkan ke dalam tong sampah
jenis sisa pepejal kitar semula.
Sebaliknya mereka perlu mendermakan produk makanan
lama itu terus kepada badan-badan amal atau ladang pertanian dan
ternakan haiwan tempatan, menurut laporan media di negara Eropah
tersebut pada Jumaat.
Dewan Senat Perancis dilaporkan turut mengikuti
jejak langkah Dewan Rendah parlimen negara itu, yang pada bulan ini
berjaya meluluskan rang undang-undang mengenai larangan pembuangan sisa
makanan tersebut.
Barang makanan yang dianggap tidak sesuai untuk
dijual semula kepada pelanggan termasuk kerana kesilapan pada
pembungkusannya, tetapi ia masih boleh lagi dimakan dan tidak sampai
tahap menyebabkan keracunan.
Pembaziran makanan di Perancis
dianggarkan secara purata sebanyak 20 hingga 30 kilogram setiap orang
sepanjang tahun. Ia dianggap masih rendah kerana rakyat benua Eropah
membazir purata 90 kilogram setahun.
Penduduk di benua Amerika Utara dan
Oceania pula paling banyak membazir makanan iaitu 110 kilogram setiap
orang setahun manakala Asia tenggara dan selatan mencatat rekod terendah
iaitu 15 kilogram seorang setahun.
0 Komentar untuk "Perancis Larang Buang Makanan Lama Tapi Sedekah Badan Amal"