9 Filem Gagal Box-Office Tahun 2017

ADATLAH jika ada filem yang mendapat keuntungan menggunung dan ada pula filem yang seakan-akan hidup segan mati tak mahu sahaja di pawagam.

Untuk lapan bulan pertama tahun ini sahaja, didapati sembilan buah filem Bahasa Melayu dan Tamil yang sekadar mengaut keuntungan tidak lebih daripada RM20,000.
Mungkin anda juga tidak pernah mendengar tajuk atau melihat trailer filem-filem ini di media cetak mahupun elektronik.
Sembilan filem tersebut adalah Mendidih Bro, Spy In Love, Kamar Seksa, Kerja Kahwin, Hijabsta Ballet dan Pencuri Hati Mr Cinderella bagi filem berbahasa Melayu.



Untuk filem berbahasa Tamil pula, filem Puthiya Payanam, RIP?, Vettai Karuppar Ayya mencatatkan kutipan terendah tahun ini.
Menurut laporan BH Online, filem-filem ini hanya mampu mengaut jualan tiket dalam purata sekitar RM4,059 hingga RM18,864 walaupun belanja yang dikeluarkan agak besar. Kutipan keseluruhan untuk kesembilan-sembilan filem ini adalah RM106,782.
Menurut Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), kesemua filem ini antara 33 filem yang ditayangkan sejak Januari hingga Ogos lalu dan dihasilkan di bawah Skim Wajib Tayang (SWT) dengan kutipan di bawah RM20,000.
Filem-filem ini juga dianggap sebagai filem yang gagal di pasaran apabila tidak berjaya menandingi jualan tiket filem-filem lain yang ditayangkan pada waktu yang sama.
Agak-agaknya mengapa perkara seperti ini hanya terjadi kepada sesetengah filem?



Richard Ung yang juga penerbit filem Spy In Love mengakui masalah bajet untuk tujuan promosi menjadi faktor utama filem ini tidak dikenali walaupun menampilkan pelakon popular seperti Nasha Aziz dan Siti Saleha di dalamnya.
“Sebagai syarikat ‘independant’, bajet adalah masalah utama. Apatah lagi untuk mengeluarkan sejumlah besar wang bagi melakukan promosi menyeluruh baik di televisyen (TV), radio mahupun papan iklan gergasi,” katanya dipetik BH Online.
Tambahnya lagi, keengganan pelakon untuk mempromosikan filem di bawah syarikat yang kurang dikenali seperti syarikat miliknya iaitu Sheunik Sdn Bhd turut menyumbang kepada kekurangan penjualan tiket.
Khabarnya, para pelakon juga tidak hadir dalam rangka promosi kerana menganggap kerja telah selesai selepas mendapat bayaran.
“Pelakon juga enggan membantu mempromosikan filem lakonan mereka di laman sosial peribadi. Susah bagi kita mendapatkan kerjasama walaupun diminta berbuat demikian,” katanya.



Manakala, pengarah filem Kerja Kahwin, Anwardi Jamil pula menafikan dakwaan filemnya gagal walaupun keuntungan yang diperolehi menerusi jualan tiket sebanyak RM15,293.76.
“Sebelum filem ini dibuat pada 2015, saya ada pelan strategi sendiri di mana karya ini diterbitkan untuk penonton di luar, bukannya dalam pawagam. Ini adalah strategi baharu bagi filem berbajet rendah.
“Saya boleh katakan filem ini tidak rugi. Ini kerana apabila ia siap, saya berjaya mendapatkan persetujuan FELDA untuk menayangkannya di tanah rancangan di seluruh negara selama setahun pada 2016,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, sepanjang tempoh itu, mereka berjaya memperoleh untung bersih sebanyak RM380,000.
Menurut Anwar, dia tidak terbabit dalam tujuan mempromosikan filem itu apabila dibawa ke layar perak. Sebaliknya ia dikendalikan sepenuhnya oleh pihak penerbitan.
Rasanya naskhah yang bagus sahaja tidak menjamin kejayaan sesebuah filem itu jika tidak disertakan kerjasama semua pihak.
Ianya termasuklah daripada pihak FINAS, kru produksi serta pelakon yang perlu berganding bahu membawa sesebuah filem ke puncak bukan sekadar hanya melepaskan batuk di tangga sahaja. – MYNEWSHUB.CC
0 Komentar untuk "9 Filem Gagal Box-Office Tahun 2017"

 
Copyright © 2014 panas panas - All Rights Reserved
Template By Catatan Info